Thursday 25 August 2011

Tahap seksual menurun

SOALAN:
Adakah ketika usia 60 tahun, tahap seksualnya mula menurun. Jika berlaku, adakah sebarang ubat bagi memulihkan tenaga seksual lelaki?

Pengirim,
Manap,
Alor Gajah, Melaka.

JAWAPAN:
Umur memainkan peranan daripada segi kemampuan syahwat. Walau bagaimanapun, apabila individu itu sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat, dia mendapat keselesaan dari segi kemampuan syahwat dan berkebolehan mendampingi pasangan wanitanya. Apabila seorang lelaki itu mencecah umur 40 tahun, dia perlu mengambil berat tentang tahap kesihatannya kerana terdapat pelbagai cabaran kesihatan yang bakal ditempuhi seperti kemunculan penyakit kronik iaitu penyakit keturunan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau sakit jantung dan lain-lain. Penyakit-penyakit ini boleh mempengaruhi kesihatan seksual lelaki dan punca lemah tenaga batin.
Apabila ditinjau berkenaan lemah tenaga batin atau disfungsi erektif, kajian menunjukkan 40 peratus lelaki mengalami lemah tenaga batin dalam umur 40 tahun dan 60 peratus apabila berumur 60 tahun. Jika perkara itu bukan masalah kepada lelaki itu, dia tidak perlu berbuat apa-apa. Disarankan lelaki yang mengalami masalah lemah tenaga batin berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan supaya doktor mengenali penyakit yang melemahkan fungsi tenaga batinnya. Tidak mungkin seorang lelaki itu kembali seperti umur 20-an.
Rawatan yang sedia ada termasuk ubat yang dapat membantu kemantapan ereksi (seperti Viagra atau Cialais) yang boleh diberi doktor jika sesuai untuk kesihatannya ataupun mendapat bantuan dengan menggunakan pam vakum. Pendek kata, umur memainkan peranan dari segi kemampuan syahwat. Di samping itu, lelaki yang mempunyai lemah tenaga batin, lemah syahwat atau disfungsi erektil boleh mendapat pemulihan dengan rawatan moden melalui doktor. Jangan cuba ubat perangsang yang dijual di kaki lima ataupun melalui orang yang tidak bertauliah. Ubat-ubat itu mungkin membahayakan kesihatan.

Tuesday 23 August 2011

Onani sebelum bersama suami

SOALAN:

Saya sudah mendirikan rumah tangga. Masalah yang saya hadapi adalah sering melakukan onani sebelum melakukan hubungan dengan suami. Bagaimana untuk mengelakkan tabiat ini terusan berlaku?

Pengirim,
Isteri Risau,
Rembau, Negeri Sembilan.

JAWAPAN:
Kebanyakan individu dapat menikmati ransangan seksual dengan cara menyentuh anggota kelamin, lebih-lebih lagi pada bahagian yang merangsangkan mereka. Sebilangan mereka melakukan secara tidak sengaja. Mereka tidak teruskan perbuatan itu apabila mereka sedar kesan atau risiko yang mungkin berlaku apabila perkara itu dipanjangkan. Lagipun mereka dapat melihat perubahan negatif yang berlaku kepada mereka apabila mereka mengamalkan perbuatan melancap seperti rasa letih, lemah, mengantuk, suka berseorangan, kurang bersosial dan mengganggu kesihatan juga ketenteraman jiwa (rasa serba salah selepas selesai melancap).
Tetapi jika amalan melancap itu dapat menghindarkan mereka daripada melakukan perbuatan yang boleh mendedahkan mereka kepada bahaya seperti melakukan hubungan seks rambang, dan kemungkinan akan terdedah pada kehamilan atau penyakit kelamin atau HIV atau AIDS, mungkin mereka boleh melakukannya tetapi mesti dalam had yang bersesuaian.
Individu yang terperangkap dengan amalan melancap dan terikat dengan amalan itu masih boleh mengecapi kebahagian rumah tangga dengan kerjasama pasangan yang prihatin dengan mereka. Mungkin dengan bantuan kaunselor, amalan itu dapat melegakan individu itu. Kerjasama pasangan membantu melakukan sentuhan yang memberangsangkan dapat mengurangkan amalan melancap dan lama-kelamaan pasangan yang bergantung dengan amalan melancap tadi tidak bergantung pada perbuatan itu dan dapat menikmati hubungan seksual dengan pasangan secara berpasangan iaitu dengan cara normal.

Monday 22 August 2011

Pesakit HIV rimas guna kondom

SOALAN:
Saya adalah seorang bekas penagih dan doktor telah mengesahkan saya mempunyia HIV positif. Saya sudah berumah tangga. Masalahnya dalam menjalankan hubungan seks saya berasa tidak selesa dan rimas apabila menggunakan kondom. Bagaimana caranya untuk memberikan keselesaan kepada isteri saya tanpa menggunakan kondom?

Pengirim,
Yus,
Kuala Terengganu, Terengganu.

JAWAPAN:
Jangkitan kuman virus HIV/AIDS adalah melalui hubungan intim dengan pesakit HIV/AIDS, penggunaan jarum yang mengandungi bekas darah daripada pesakit HIV/AIDS sama melalui otot ataupun melalui pembuluh darah dan anak di dalam kandungan ibu pesakit HIV/AIDS. Cara pencegahannya adalah memastikan tiada hubungan bendalir daripada pesakit HIV/AIDS kepada tubuh badan individu yang sihat. Kemungkinan kemasukan kuman virus daripada pesakit boleh berlaku seperti melalui kulit yang melecit yang mudah berlaku dalam hubungan intim seperti hubungan seksual dan ciuman.
Jangan sekali-kali mengambil risiko dengan melakukan hubungan seksual tanpa menggunakan kondom. Sekiranya berdegil juga kemungkinan isteri turut akan menjadi mangsa.

Sunday 21 August 2011

Testis bengkak sebelah

SOALAN:
Saya berusia awal 20an, mempunyai satu masalah di mana saya dapati baru-baru ini keadaan testis saya merasa sakit di sebelah kanan dan membengkak. Saya pernah berjumpa doktor dan doktor tersebut telah menyarankan untuk memakan ubat dan namun testis saya telah mengecil dari keadaan normal. Namun begitu keadaan testis sebelah kiri normal. Kenapa keadaan ini berlaku?

Pengirim,
John,
Miri, Sarawak.

JAWAPAN:
Lelaki mempunyai sepasang buah zakar dan anggota itu terletak di dalam kerandut buah zakar. Pendapat mengatakan kedudukan buah zakar yang tidak seimbang adalah petanda kurang subur, petanda masalah syahwat atau masalah tenaga batin.
Terdapat keadaan buah zakar tidak mengembang dan tumbesarannya terbantut. Perkara ini jarang berlaku dan jika berlaku boleh menjejaskan kesuburan lelaki. Buah zakar yang pejal suatu ketika menjadi lembik, berkemungkinan mengalami masalah pada kilang sperma dan mungkin petanda mandul kalau kedua-dua buah zakar itu berkeadaan sedemikian. Jadi apabila satu buah zakar sudah rosak, buah zakar satu lagi yang normal itu dapat berfungsi kecuali buah zakar itu juga sudah rosak.
Radang buah zakar boleh berlalu secara spontan. Ini mungkin disebabkan jangkitan kuman virus Mumps atau 'Beguk'. Apabila buah zakar mengembang, kemungkinan sel permulaan sperma atau germinal epithelial cells terhimpit antara satu dengan yang lain dan boleh rosak. Apabila kerosakan ketara, kilang-kilang sperma rosak dan lelaki itu tidak dapat menghasilkan sperma. Kadangkala kerosakan kilang sederhana san sel-sel kilang putih dan ini boleh dikenal pasti melalui ujian air mani apabila kedua-dua buah zakar berada dalam keadaan rosak.
Sekiranya mengalami masalah buah zakar, berjumpalah dnegan doktor pakar sakit tuan bagi menjalani ujian air mani apabila masalah itu sudah selesai dan keadaan buah zakar kelihatan tidak seperti dahulu.